Wednesday, April 13, 2011

Syukur Ya Allah


Alhamdulillah syukur Ya Allah Engkau telah memilih diriku ini sebagai hamba yang berpeluang bertandang mencari sesuap rezeki yang halal di salah sebuah syarikat Jepun yang agak terkenal di negara Jepun itu sendiri. Itulah kilang Fuji Electric & Semiconductor (M) Sdn. Bhd. Betapa bertuahnya setiap individu yang telah bergelar graduan pada masa kini yang dipilih Allah untuk mendapat pekerjaan sesuai dengan kursus yang diambil sebelum ini. Tetapi perlu diingat dalam dunia yang serba mencabar ini tidak semua individu yang mampu untuk mendapat pekerjaan dengan mudah tambahan pula sekarang sudah terlalu ramai graduan-graduan yang telah bergraduasi setiap tahun sedang mencari peluang-peluang pekerjaan. Lihat sajalah kepada laman-laman web yang sudah makin bertambah dengan menyediakan perkhidmatan mencari pekerjaan kepada graduan-graduan dan individu yang menganggur.

Jadi ingatlah peluang hanya datang sekali, sekali datang maka rebutlah dan seperkara lagi bersyukurlah dengan pekerjaan yang kita ada sekarang. Sedarlah disana berapa ramai insan seperti kita yang walaupun adalah dari kalangan terpelajar tetapi masih lagi terkapai-kapai mencari kerja. Janganlah terlalu memilih pekerjaan dan mengharapkan gaji yang tinggi pada permulaannya kerana dengan sikap inilah yang akan menyebabkan kita di label oleh majikan-majikan sebagai "bodoh sombong".

"Dahlah tak tahu buat kerja, nak minta lebih-lebih pulak. Sampai kesudahlah kamu tak dapat kerja". Itulah yang agaknya selalu terlintas dibenak hati penemu-penemuduga semasa bertanya tentang gaji yang ingin diminta oleh golongan graduan-graduan ini.(khas untuk kerja swasta ja ye..)

Kesimpulannya, setiap apa yang ditakdirkan Allah kepada kita adalah mampu untuk kita laksanakan. Allah tidak akan membebani hamba-hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuannya.

Pesanku kepada diriku sendiri dan sahabat-sahabat, amanahlah dalam melaksanakan kerja dan sentiasalah bermuhasabah diri serta meminta taufik hidayahNya agar tidak tersesat di pertengahan jalan.

Wallahu'alam

BUKU WAJIB MILIK!!


"Indahnya Hidup Bersyariat". Itulah tajuk buku yang sepatutnya buku ini dimiliki oleh setiap umat Islam yang ingin menjadikan diri dan keluarga mereka sentiasa dalam panduan syariat Islam. Sepertimana yang kita akui, bukan semua di antara kita mampu utnuk mengingati dan menghafal setiap hukum dan dalil berkenaan ibadah-ibadah fardu dan sunat yang telah diajarkan oleh junjungan Nabi kita, Nabi Muhammad shallallahu a'laihi wasalam. Jadi buku ini boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada kita semua yang bergelar umat Islam agar mudah unutk mengamalkan syariat Islam sebaik-baiknya. Kesimpulannya, milikilah buku ini dan jangan risau anda pasti tidak merasa rugi tambahan pula harganya adalah berpatutan. Selamat memiliki buku ini!!

SEKILAS PANDANG BUKU FENOMENA DAJJAL


Buku terbaru yang baru saja bacaannya dihabiskan pada hujung bulan lepas. Betapa gembiranya hati saya apabila buku yang baru selesai saya baca ini banyak melengkapkan fakta-fakta yang sebelum ini masih belum sempurna berkenaan teori konspirasi Dajjal. Buku ini yang telah mengambil masa selama 5 tahun untuk disiapkan kajiannya telah banyak menyingkap di sebalik tabir siapakah dalang-dalang di sebalik mitos-mitos kaum-kaum terdahulu yang banyak mengagungkan dewa-dewa mereka yang dikenali dengan pelbagai nama. Ironinya, dewa-dewa mereka ini mempunyai banyak ciri-ciri persamaan walaupun jarak bagi setiap tamadun atau kaum adalah beribu-ribu kilometer jauhnya. Cubalah baca buku ini,anda pasti terkesima dengan bukti-bukti penemuan daripada si penulis ini, Nurani Maarif. Tetapi yang pasti pencarian masih belum selesai selagi "Bapa kepada segala fitnah" ini belum muncul dan membuat kerosakan di muka bumi ini. Selamat mengkaji & membaca!!

SEKILAS PANDANG BUKU FENOMENA DAJJAL


Buku pertama berkenaan konspirasi Yahudi yang mula membuka minat saya untuk mengkaji berkenaan teori-teori konspirasi Yahudi ini. Selama ini kita selalu disogokkan dengan bermacam-macam trend dan gaya hidup yang moden dan aneh tetapi tetap diterima umum sebagai satu gaya hidup yang maju dan boleh diterima pakai oleh masyarakat seluruh dunia. Walhal kita tidak pernah sedar bahawa kebanyakan gaya hidup ini tidak langsung bersandar kepada syariat dan tata susila masyarakat Islam malah banyak yang bertentangan dengan agama Islam itu sendiri. Buku ini banyak mengemukakan secara jelas simbol-simbol dan tigkahlaku yang sebenarnya diamalkan oleh anti-kristian dan Yahudi ini. Bacalah dan telitilah buku ini semoga banyak ilmu dan pengajaran yang dapat diambil daripada buku ini...Selamat Membaca!!

SEKILAS PANDANG BUKU FENOMENA DAJJAL


Inilah buku kedua berkenaan Dajjal yang telah saya telaah. Nampaknya banyak fakta berkenaan Kaum Maya dan bermacam-macam konspirasi yang telah berlaku semenjak dari zaman Nabi Sulaiman sehinggalah kini. Bacalah untuk lebih mengetahui lebih lanjut. Tetapi perlu diingat, masih banyak lagi bukti-bukti dan penemuan yang masih belum dibongkar kerana perancangan Dajjal masih belum terhenti disini. Nantikan buku yang seterusnya "Membongkar Misteri Dajjal" karya Nurani Maarif.

Sunday, August 9, 2009

sambungan DISEBALIK PERHIMPUNAN ISA

Sambungan...

..bekas Perdana Menteri Malaysia tersebut pernah membuat kenyataan yang dia pernah memenjarakan seorang pemimpin bawahannya di bawah akta ISA ini atas dasar suka-suka..beliau mengaku yang beliau telah menggunakan sewenang-wenangnya akta tersebut kerana kepentingan diri sendiri bukannya atas dasar seseorang itu dianggap mengancam keselamatan negara. adakah ini yang diperjuangkan oleh sesetengah pemimpin dan penyokog kerajaan yang boleh menzalimi seseorang dengan sesuka hati? hal ini menjadi ukuran bahawa sekiranya dibiarkan ISA terus wujud dan hanya perlu dipinda tanpa dapat memberi jaminan ISA ini tidak akan lagi digunakan untuk kepentingan individu maka betapa malangnya Malaysia sebagai sebuah negara yang selalu dilaung-laungkan dengan slogan DEMOKRASI!!DEMOKRASI!!

Saya berharap agar rakyat yang telah menyertai perhimpunan aman pada Sabtu lalu tidak berasa rugi dengan penglibatan mereka tambahan pula dengan isu yang dimainkan kerajaan mengenai perhimpunan aman mansuhkan ISA ini kerana akta ini sememangnya merupakan akta yang telah dan bakal menzalimi lebih ramai lagi rakyat yang tidak bersalah. sekian untuk coretan kali ini dari penulis yang serba daif ini. wasalam.


Saturday, August 8, 2009

DISEBALIK PERHIMPUNAN ISA


Assalamualaikum. Telah lama si pengarang ini menyepi membiarkan blog ini kesunyian. Hendak dikatakan sibuk dengan dengan kerja baru sekarang tak juga, nak kata sibuk berjuang pun kurang tepat juga tapi entahla, mungkin disebabkan malas nak menatap wajah LCD computer yang membuat mata menjadi makin terpejam. Baiklah, abaikan alasan-alasan tadi dan mari sama-sama kita buka semula minda kita mengenai isu yang hangat melanda negara kita kini. Saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan mengenai perhimpunan aman mansuhkan ISA(Akta Keselamatan Dalam Negeri) sehingga kini telah dianggap sebagai suatu perhimpunan yang telah memberikan banyak kesan-kesan buruk kepada keamanan Negara dan yang paling kelakarnya dikatakan telah membawa kerugian berjumlah beratus-ratus juta ringgit kepada peniaga contohnya kepada Pasaraya MYDIN, peniaga-peniaga di sekitar Jalan Masjid India dan yang berdekatan dengan tempat kejadian tersebut. Menurut berita hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, setakat ini, hampir RM20 juta kerugian akibat demonstrasi anti-ISA Sabtu lalu telah ditaksir. Ini bercanggah dengan dakwaan beliau sebelum ini yang menyatakan bahawa jumlah sebenar kerugian peniaga akibat demonstrasi anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membawa kerugian RM100 juta hingga RM200 juta.

Walau apapun, bukanlah kerana isu kerugian yang ingin saya ketengahkan disini, tetapi yang lebih penting untuk saya utarakan ialah bagaimana kerugian ini boleh berlaku sedangkan perhimpunan itu dijamin akan diadakan secara aman. Takkanlah perhimpunan aman mampu menyebabkan kerugian yang dikatakan terlalu besar sedangkan sekiranya ditimbang semula makin ramai orang yang berkumpul di sesuatu kawasan perniagaan makin tinggilah peluang untuk si peniaga mendapatkan pelanggan, kecualilah ada faktor-faktor lain yang menyebabkan pelanggan lari meninggalkan kawasan tersebut.

Saya pernah menyertai perhimpunan aman yang dianjurkan oleh badan-badan NGO. Perhimpunan tersebut diadakan bagi menyerahkan memorandum kepada sultan bagi memansuhkan PPSMI. Pada mulanya polis telah memberikan permit untuk mengadakan perhimpunan tersebut tetapi alih-alih pada hari yang ditelah ditetapkan,pihak polis secara mengejut menarik semula permit tanpa alasan yang munasabah sedangkan pihak penganjur telah memberi jaminan bahawa perhimpunan ini akan diadakan tanpa unsur-unsur yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Daripada situ saya dapat melihat betapa tidak adilnya pemerintah dengan menggunakan kuasa yang ada pada mereka dengan menghantar pihak FRU bagi meleraikan perhimpunan. Pengalaman pertama saya melihat gas pemedih mata dilepaskan kearah orang ramai yang menyertai perhimpunan mahupun yang tidak terlibat langsung dengan perhimpunan menyebabkan keadaan yang aman menjadi lebih teruk dan kucar-kacir bagai lipas kudung disembur RIDSECT. Adakah patut rakyat yang berhimpun secara aman dengan mempunyai satu niat hanya untuk menyerahkan memorandum di tembak dengan gas yang sangat menyakitkan mata,hidung dan tekak itu. Lainlah kalau ada dikalangan peserta perhimpunan itu bersikap ganas dan merosakkan harta benda semasa perhimpunan tersebut. Mungkin inilah puncanya kedai-kedai terpaksa ditutup dan seterusnya mendatangkan kerugian kepada peniaga-peniaga. Bukannya kerana orang yang berhimpun tetapi oleh kerana sikap pihak polis dan FRU itu sendiri yang hanya melaksanakan arahan tanpa berfikir panjang.

Saya ada terbaca artikel mengenai isu ISA ini dibeberapa laman web antaranya laman web Malaysian Insider yang memberikan pandangan bahawa akta ISA ini tidak perlu dimansuhkan tetapi perlu dipinda atau diperbaiki semula. Pada pandangan saya akta ini merupakan undang-undang rimba yang sama sekali tidak mendatangkan keadilan kepada individu dan masyarakat. Adakah patut seseorang yang belum dibuktikan bersalah tetapi ada niat untuk melakukan jenayah sedangkan beliau belum lagi terbukti untuk melakukan kesalahan itu ditangkap dan dipenjarakan tanpa bicara selama mana dianggap patut. Tergelak kecil di hati saya, bagaimana tanpa bukti yang kukuh boleh mengakibatkan seseorang yang tak bersalah dihukum tanpa soal bicara. Bagaimana untuk kita ketahui yang seseorang itu bersalah sedangkan tiada bukti. Adakah kerana semata-mata yang dikatakan bersalah itu dikatakan mampu mengancam Negara, menjadikan dia suspek yang boleh ditahan mengikut akta ISA atau bagaimana? Teringat saya dengan kenyataan bekas Perdana Menteri....

bersambung esok, InsyaAllah